[VIDEO] 'Sebelum ini, kami cuma diberi RM100,000,' - Ahmad Maslan

PONTIAN - Keputusan yang dibuat kerajaan memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang bertujuan menjaga kebajikan rakyat di kawasan Parlimen terbabit.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pendekatan kerajaan kini memberikan peruntukan kepada pembangkang berbeza sewaktu Barisan Nasional (BN) menjadi pembangkang sebelum ini.

"Tetapi sekadar ingin memaklumkan, pada ketika kami menjadi pembangkang selama 22 bulan, kami cuma diberi RM100,000. Kalau mereka (pembangkang) dapat RM100,000 juga boleh.

"Itu saya hendak maklumkan apa yang berlaku kepada kami, dapat juga (peruntukan) bukan tidak dapat," katanya pada sidang akhbar ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pontian di Dewan Jubli Intan Pontian pada Jumaat.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, rakyat dan pengundi di setiap kawasan Parlimen pembangkang tetap dilindungi dan tidak pernah dikecualikan daripada menerima sumbangan menerusi program kerajaan.

"Bukan kerajaan mengenepikan mereka sebagai ahli Parlimen, tapi kawasan mereka tetap lindungi. Semua pengundi di kawasan mereka dapat sumbangan, tunai Rahmah.

"Apa juga sumbangan-sumbangan yang diberi oleh kerajaan pusat. Pengundi di kawasan mereka, semua dapat," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung peruntukkan pembangkang yang disambut baik Perikatan Nasional (PN).

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi satu kenyataan memaklumkan Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

**media[2619876]**

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, persetujuan itu diputuskan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta dihadiri pemimpin tertinggi parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan di Sri Perdana, Putrajaya pada Rabu.

Ketua Whip Kerajaan Perpaduan itu berkata, satu draf Memorandum Persefahaman (MoU) akan dirangka serta dipanjangkan kepada pihak pembangkang, sebagai langkah perundingan seterusnya.

Pada masa sama PN menyambut baik keputusan yang dibuat kerajaan bagi memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan pada Khamis berkata, PN akan membuat keputusan selepas meneliti terlebih dahulu syarat-syarat dalam draf MoU yang sedang disiapkan kerajaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!